Thursday, November 21, 2013

Doa Pendekat Jodoh


Antara firman Allah:
Maksudnya “ Berdoalah kepadaku, nescara akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

(Ghafir: ayat 60)

KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN DOA

1- Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya.
2- Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah.
3- Doa merupakan satu bentuk zikir kepada Allah.
4- Doa merupakan senjata yang ampuh bagi setiap mukmin dalam menghadapi realiti kehidupan.

ADAB-ADAB BERDOA

1- Mengikhlaskan hati kepada Allah.

2- Mengangkat kedua tangan ketika berdoa sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga kelihatan putih dua ketiaknya sebagai tanda kesungguhan kita memohon sesuatu daripada Allah.

3- Memulakan doa dengan tahmid kepada Allah SWT dan diiringi dengan salawat kepada Nabi SAW, diikuti dengan permohonan apa-apa yang dihajatkan. Doa yang paling utama ialah memohon keampunan dan keredhaan Allah sebelum memohon perkara-perkara yang lain. Permohonan juga boleh dimohon dengan apa-apa bahasa sekalipun. Seelok-elok doa ialah ‘Doa Maksurat’ iaitu doa yang diambil dari al-Quran dan as-Sunnah, atau doa yang dibaca oleh sahabat, para tabiin atau imam-imam yang terkenal kesolehannya dan ketaqwaan mereka kepada Allah.

4- Mengadap kiblat, kecuali imam kerana imam makruh mengadap kiblat, akan tetapi disunatkan baginya mengadap makmum atau menjadikan rusuk kanannya mengadap makmum dan rusuk kirinya mengadap kiblat.

5- Memilih waktu-waktu yang mulia seperti berdoa di Hari Arafah, hari-hari di bulan Ramadhan, pada hari jumaat, waktu sahur atau tengah malam, ketika hujan turun, di antara azan dan iqamah, dalam solat fardhu, ketika sujud, selepas solat, ketika imam duduk antara dua khutbah Jumaat, sebelum magrib hari Jumaat, ketika sedang berpuasa dan lain-lain lagi.

6- Berada dalam keadaan suci zahir (tubuh badan) dan batin (hati) dari perkara-perkara kotor dan maksiat.

7- Merendah diri dan khusyu’ dan dengan penuh pengharapan agar doa tersebut diterima oleh Allah dan perasaan takut tidak diperkenankannya.

8- Berdoa dengan penuh kesungguhan dengan penuh keyakinan bahawa doa tersebut akan diperkenankan Allah.

9- Membaca doa dengan penuh ketenangan dan tidak tergopoh -gapah.

10- Merendahkan suara.

11- Pengakuan terhadap segala dosa yang telah dilakukan dan memohon keampunan dariNya.

12- Pengakuan terhadap segala nikmat dan dan bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan tersebut.

13- Berdoa dengan mengulang-ulangkannya sebanyak 3 kali bagi setiap permintaan dan tidak terburu-buru supaya ia diperkenankannya.

14- Tidak menyusahkan diri dengan doa-doa yang berunsur sastera (bahasa yang susah).

15- Memulangkan hak dan meminta maaf daripada orang yang dizalimi serta bertaubat dengan perbuatan tersebut.

16- Berwudhu’ sekiranya tidak menjadi keberatan dan tidak menyusahkan.

17- Tidak keterlaluan ketika berdoa seperti memohon perkara yang pelek-pelek dan tidak munasabah sebagai seorang hamba Allah dengan nada paksaan agar Allah memperkenankannya.

18- Berdoa dengan menggunakan nama-nama Allah yang Maha baik (Asma’ulla al-Husna) dn sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dan dengan amalan soleh yang dilakukan atau dengan meminta seseorang yang soleh yang masih hidup, mendoakannya.

19- Memastikan makanan dan minuman serta pakaian yang dipakai dari sumber yang halal.

20- Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, agar doa kita lebih cepat diperkenankan, lantaran usaha kita membantu agama Allah.

21- Menjauhkan diri dari segala bentuk maksiat samada zahir mahupun batin.

22- Mengakhiri doa dengan berselawat ke atas Nabi SAW dan bertahmid kepada Allah.

23- Hendaklah berdoa untuk kesejahteraan iman, amal dan akhlak diri sendiri terlebih dahulu sebelum berdoa untuk orang lain.