GEORGE TOWN –
Polis melepaskan dengan jaminan seorang pelajar Universiti Sains
Malaysia (USM) yang membuat kenyataan berbaur ugutan di laman sosialnya
terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.
Ketua Polis
Negeri Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis membebaskan
pelajar terbabit selama sebulan tetapi boleh memanggilnya pada bila-bila
masa sekiranya perlu bagi membantu siasatan.
“Dia adalah
pelajar tahun keempat jurusan kejuruteraan, dan sedang menduduki
peperiksaan. Polis membebaskannya bagi membolehkan dia menduduki
peperiksaan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan
bulanan Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.
Pelajar berusia
24 tahun itu dikatakan telah membuat kenyataan untuk meletakkan bom
pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri dalam lawatannya ke
USM minggu depan.
Dia ditahan
pada 1.30 petang semalam selepas polis mendapat maklumat mengenai
kenyataannya itu. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan
yang memperutukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau
kedua-duanya sekali.
Ayub berkata,
berdasarkan siasatan yang dijalankan, pelajar itu mengakui kenyataan itu
dibuat dengan kehendaknya sendiri dengan niat bergurau.
“Kita bukan
hendak menyekat kebebasan bersuara tetapi sebagai rakyat Malaysia yang
bertanggungjawab sepatutnya dia tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara
dan penggunaan Internet sehingga boleh menimbulkan kekecohan dan
kemarahan pihak lain.
“Perkara
seperti ini sesuatu yang serius dan tidak boleh dianggap main-main, ia
melibatkan keselamatan pemimpin negara dan secara tidak langsung orang
awam yang lain juga,” katanya.
Ayub berkata,
polis masih meneruskan siasatan mengenai latar belakang pelajar itu
serta hubungannya kerana dikhuatiri mempunyai kaitan dengan
anasir-anasir subversif.
Setakat ini terdapat tiga laporan polis dibuat oleh pihak-pihak yang membantah tindakan pelajar itu. — BERNAMA