Bagi sesetengah individu, proses memulakan perkenalan mungkin amat
mudah bagi mereka. Namun bukan semua orang mempunyai tahap keyakinan
diri yang tinggi untuk memulakan sesebuah perkenalan.
Apatah lagi jika mereka mahu memulakan perkenalan dengan seseorang yang berlainan jantina atau berbeza latar belakang kehidupan.
Namun
ada beberapa cara berkesan yang boleh diaplikasikan jika anda mahu
memulakan perkenalan dengan seseorang. Bagaimanapun anda perlu bersedia
dengan apa sahaja kemungkinan kerana tidak semestinya semua salam
perkenalan itu akan bersambut.
1. Bersedia untuk ditolak
Bukan
semua orang selesa apabila ada seseorang yang tidak mereka kenali
menghulurkan salam perkenalan. Sebagai contoh, seorang wanita yang sudah
mempunyai teman lelaki atau suami, pastinya tidak akan berasa selesa
dengan situasi ini.
Oleh sebab itu sebagai
lelaki anda jangan sesekali tersalah sasaran kerana ia hanya akan
membuatkan anda malu pada diri sendiri. Dalam aspek ini anda perlu
bersedia jika kehadiran anda tidak disenangi dan akhirnya ditolak.
Namun
itu tidak bermakna anda tidak cukup bagus untuk menjalinkan hubungan
dengan mereka. Mungkin dengan orang lain, salam perkenalan yang anda
hulurkan akan bersambut jika ianya kena dengan situasi atau status
seseorang itu.
2. Buang rasa malu
Kebanyakan
lelaki atau wanita gagal untuk memulakan perkenalan yang baru di dalam
hidup mereka kerana memiliki rasa malu yang sangat tebal
Perasaan
itu perlu dikikis kerana ramai orang yang kurang gemar untuk bersahabat
dengan seseorang yang terlalu pemalu. Apatah lagi jika anda malu tidak
bertempat atau untuk perkara yang seharusnya anda tidak perlu malu.
Cubalah
bersikap terbuka kerana sikap sebegitu membuatkan orang lain selesa
untuk mendampingi anda. Malah lelaki atau wanita paling suka jika
pasangan mereka bersikap positif dan terbuka dengan apa sahaja situasi
yang mereka lalui.
3. Belajar memahami
Sebagai
lelaki mereka perlu memahami reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang
wanita dengan salam perkenalan yang dihulurkan. Jika mereka menunjukkan
reaksi positif, anda jangan teragak-agak untuk meneruskan perhubungan
tersebut.
Namun jika wanita tersebut berusaha
melarikan diri daripada anda dengan memberikan pelbagai alasan yang
tidak munasabah, jangan sekali-kali mendesak. belajar menerima keputusan
yang dibuat olehnya.
Sementara itu bagi
golongan wanita pula, anda mestilah menunjukkan sikap sabar di dalam
perhubungan yang terjalin. Lelaki tidak suka dengan wanita yang gelojoh
kerana beranggapan wanita sebegitu sebagai murah atau sudah terdesak
untuk mencari calon suami.
4. Ingat nama dan simpan nombor telefonnya
Tidak
kira lelaki atau wanita, anda jangan sekali-kali lupa akan nama teman
barumu itu. Jika anda terlupa, itu bermakna anda tidak merasakan
kehadiran mereka penting dalam hidup mereka.
Itu
membuatkan mereka akan berkecil hati walaupun hakikat sebenarnya anda
sangat teringin untuk mempereratkan perhubungan yang baru terjalin.
Selain itu anda juga perlu menyimpan nombor telefonnnya.
Maklumlah
jika si dia menghantar SMS kepada anda, tidaklah anda tertanya-tanya
siapa yang menghantarnya. Jika anda membalas SMS tersebut dengan
pertanyaan 'siapa ni?', sudah pasti perhubungan yang baru sahaja
terjalin akan putus di pertengahan jalan.
5. Bersikap positif
Di
dalam proses menjalinkan perhubungan yang baru, sikap positif dan
saling bertolak ansur sangat penting. Golongan wanita tidak menyukai
lelaki yang bersikap terlalu kasar. Apatah lagi jika anda baru
berkenalan dengannya.
Manakala golongan lelaki
pula tidak gemar dengan wanita yang terlalu suka mengongkong dan terlalu
mengambil tahu akan dirinya. Maklumlah anda berdua baru sahaja
perkenalan. Jadi tidak perlulah anda menjaganya mengalahkan ibunya
sendiri.
Di dalam aspek ini anda berdua perlu
bijak menjaga hati masing-masing dan belajar untuk memahami karektor
teman baru anda. Berikan dia masa untuk menyesuaikan diri dengan anda
dan percayalah sikap sabar yang anda tunjukkan itu pasti berbaloi pada
masa yang akan datang.