Kerap makan rangsang bakteria dalam mulut

Published On :)

RAMAI daripada kita gemar berkongsi makanan menggunakan sudu yang sama dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang mana tanpa disedari kita juga sebenarnya turut berkongsi bakteria di dalam mulut.

Memang itulah hakikat yang terjadi sekiranya seseorang itu tidak mengamalkan tabiat tidak berkumur atau memberus gigi setiap kali selepas makan.

Tabiat terlalu kerap makan juga sebenar tidak elok kerana ia secara tidak langsung memberi bekalan makanan kepada bakteria menerusi cebisan makanan yang tertinggal di dalam mulut .

Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. Lee Soon Boon berkata, sebaiknya individu mengubah gaya pemakanan mereka untuk kesihatan gigi dan gusi yang optimum.

"Tidak bermakna kita perlu mengubah selera makanan kerana itu pilihan masing-masing tetapi kita disarankan untuk mengambil langkah-langkah yang mengurangkan kehadiran bakteria dalam mulut."

Sebagai contoh, lebih baik makan banyak tetapi tidak kerap berbanding makan sedikit tetapi terlalu kerap kerana bakteria lebih mudah membiak dalam keadaan itu sebegitu," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran berus gigi Oral-B CrossAction Pro-Health, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Soon Boon menambah, kerap makan makanan yang mengandungi karbohidrat juga tidak begitu dibaik kerana ia adalah makanan untuk bakteria.

"Kita sering menganggap bahawa kaviti berpunca daripada gula tetapi sebenarnya ia berpunca daripada bakteria."

Dalam mulut manusia terdapat berjuta-juta bakteria dalam pelbagai spesies, saiz dan bentuk. Antara jenis bakteria yang terdapat dalam mulut ialah lactobacillus acidophilus, actinomyces viscosus dan streptococcus mutans," jelasnya.

Bagaimana untuk mengetahui kewujudan bakteria dalam mulut?

Menurut Dr. Soon Boon, bakteria wujud dalam lapisan melekit, sedikit licin, kekuningan dan amat jelas di atas permukaan gigi yang tidak diberus selama beberapa jam selepas makan.

"Jangan biar selepas tujuh hingga lapan jam selepas makan baru hendak gosok gigi kerana kelewatan tersebut menggalakkan pertumbuhan bakteria di dalam mulut."

Apabila populasi bakteria bertambah maka akan terhasil bahan buangan bakteria iaitu sejenis asid yang menjadi penyebab kepada kerosakan gigi," ujarnya.

Untuk memastikan mulut bebas daripada bakteria terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diikuti iaitu berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan pastikan juga ia efektif.

"Selain pemilihan berus gigi yang baik teknik memberus juga mesti betul. Berus gigi yang baik perlulah diperbuat daripada bahan yang berkualiti dan helaian berusnya juga perlu rapat agar lebihan ubat gigi tidak mudah masuk ke dasar dan mengakibatkan pertumbuhan kulat."

Langkah penjagaan lain meliputi tabiat penggunaan flos gigi untuk membuang cebisan makanan di antara gigi dan lakukan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun," tambahnya.

Pemeriksaan gigi percuma

Sementara itu, Pengurus, Hal Ehwal Awam dan Luaran, P&G Malaysia Sdn. Bhd., Zadil Hanief Mohamad Zaidi berkata, mengikut kaji selidik yang dijalankan mendapati rakyat Malaysia memperuntukkan kira-kira 46 saat untuk memberus gigi mereka.
"Kesihatan mulut memainkan peranan penting dalam kesihatan dan kesejahteraan hidup serta kualiti hidup kita."

Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami kereputan gigi dan menghidap penyakit mulut seperti gingivitis (radang pada gusi) dan kaviti (gigi berlubang).

"Keadaan ini amat membimbangkan tambahan pula hanya 50 peratus rakyat Malaysia mendapatkan khidmat pakar pergigian apabila mereka mengalami masalah pergigian." 

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengabaikan kesihatan mulut dan mereka patut menyedari kesan buruk yang boleh membawa mudarat dan komplikasi jika mereka tidak menjaga kebersihan dan kesihatan mulut.

"Langkah pertama untuk menjaga kebersihan mulut ialah memberus gigi secara kerap dengan menggunakan berus gigi yang betul. Penggunaan berus gigi yang betul boleh menjamin kebersihan gigi dan mulut secara menyeluruh," ujar Zadil Hanief pada majlis yang sama.

Pelancaran Oral-B CrossAction Pro-Health adalah sebahagian daripada usaha berterusan Oral-B untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang keperluan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan mulut di kalangan rakyat Malaysia.

Oral-B juga berhasrat untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa, gigi bukan sekadar perlu dibersih, tetapi perlu dijaga.

Zadil Hanief berkata, pihaknya juga akan melancarkan pameran bergerak, untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan menjaga kebersihan dan kesihatan mulut di kalangan rakyat negara ini.

"Dua pameran bergerak yang pertama ialah di Giant Kota Damansara dari 29 hingga 31 Ogos, dan kedua di Jusco, Kompleks Beli-Belah 1 Utama (10 dan 11 Oktober). "

Orang ramai yang datang boleh melawat Galeri Seni Oral-B iaitu pameran gambar yang menunjukkan pelbagai jenis bakteria yang biasa membiak di dalam mulut dan tidak dapat dilihat pada gigi ," katanya.

"Perkhidmatan pemeriksaan gigi secara percuma juga akan disediakan dan pengguna boleh mendapatkan petua dan nasihat mengenai kebersihan mulut daripada pakar penjagaan mulut yang hadir," jelasnya.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL (ARKIB : 18/08/2009, Utusan Malaysia)
Comments

This is one of your favourite? Just do like your own..


Click here.. Maybe its for you.