Surat Tun Dr. Mahathir untuk Israel

Published On :)

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam mendedahkan tiga surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata tiga surat itu adalah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasar mengenai Palestin.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata ia adalah surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin bertarikh 21 Disember 1993, kepada Benyamin Netanyahu bertarikh 14 Mac 1997 dan Ehud Barak bertarikh 8 Jun 1999.

“Saya ingin menyatakan bahawa sebagai satu dasar, Malaysia selama ini telah secara konsisten memberi sokongan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan komprehensif terhadap konflik Palestin-Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Kandungan surat itu jelas menunjukkan pendirian yang berprinsip dan ketegasan Malaysia terhadap tindakan haram dan kekejaman Israel yang menggugat pelaksanaan proses damai dan gesaan beliau kepada Israel untuk memenuhi tanggungjawab dan melaksanakan semua perjanjian yang telah dimeterai di antara Palestin dan Israel,” katanya.

Beliau berkata ini termasuk Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh Allahyarham Yasser Arafat bagi pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres dari Israel pada 13 September 1993 berhubung Principles and Mutual Recognition (Prinsip dan Pengiktirafan Bersama) antara Israel dan PLO.
Anifah berkata sebagai Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir tidak pernah menyatakan sokongan kepada Israel atau keselamatan negara berkenaan dan surat beliau sama ada secara tersurat atau tersirat, tidak sesekali menunjukkan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Kesediaan Malaysia mengadakan hubungan dengan Israel adalah tertakluk kepada pelaksanaan sepenuhnya oleh Israel (terhadap) semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, termasuk permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin. Ini adalah pendirian Malaysia selama ini,” katanya.

Anifah berkata surat itu mencerminkan peranan dan usaha Dr Mahathir dan Malaysia sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa dalam membantu mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik itu dalam mengembalikan martabat rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.


TIGA surat Dr Mahathir yang dihantar kepada Perdana Menteri Israel. – Foto Nurul Shafina Jemenon

Comments

This is one of your favourite? Just do like your own..


Click here.. Maybe its for you.