Dadah merupakan bahan kimia psikoaktif yang dugunakan bukan untuk tujuan perubatan dan penggunaannya adalah dilarang. Kebanyakannya diperoleh secara haram dan menimbulkan ciri-ciri ketagihan seperti penggunaan pada diri sendiri, penggantungan kesihatan seseorang sama ada daripada segi jasmani (fizikal), rohani (mental & emosi) serta tingkah laku apabila disalahgunakan.
Kesan ini mengakibatkan seseorang yang menggunakan dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah tersebut dan akan menyebabkan ketagihan. Seseorang penagih juga akan sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa atau apa sahaja walau dalam apa juga keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai yang sanggup mengemis, melakukan jenayah dan melacurkan diri.
Dengan kata lain, dadah membawa risiko yang amat tinggi sehingga boleh mengakibatkan maut.